Sabtu, 26 Oktober 2013

Mahasiddha Buddhagupta Natha

Swasti Srih!


Buddhagupta merupakan anak kelapan daripada delapan adik beradik. Bapa mereka mereka merupakan saudagar di bandar agung, Indralingam, berdekatan Rameswaram di pantai India Selatan. Beliau masih muda lagi semasa belajar dengan Mahaguru Thirtinatha yang memantau ramai sekali para yogi. Gaya kehidupan ini sangat-sangatlah mengagumkan Buddhagupta. Sampai diminta kebenaran bapanya, supaya dilepaskan menyertai para yogi sekelian. Diberilah nama yogi Buddhagupta kepada beliau.

Beberapa lamanya beliau berbakti kepada para guru seperti Guru Dewanara dan Dipanatha. Beliau pun belajar tatabahasa dan juga lain-lain cawangan pendidikan seperti Amarakosa dan lain-lain bersama guru-guru itu. Guru terutama beliau, Sri Thirthanatha mengamalkan rasayana atau penarikan ciri-ciri dasar bahan. Beliau ini sangat menarik perhatian Buddhagupta. Raja ketika itu, Sri Rama Raja berasa ragu dengan guru itu lantas dicubalah dia. Guru itu kemudian mempamerkan kemampuan luar biasa pula dengan rambutnya sepanjang 20 jengkal lalu dihadiahkan dengan kerusi buatan mutiara kepada guru. Guru Thirtanatha menerima hadiah itu, tapi kemudian hadiah-hadiah cuma dibiarkan begitu sahaja selepas beliau mengembara pula ke Magadha. Kemudian guru Thirtanatha bertapak di Waranasi dan mengamalkan rasayana di sana. Kemudian beliau pun mengambil rupa seorang belia berusia 16 tahun.

Daripada guru ini, Buddhagupta menerima saktipat pertama beliau dan melatih dirinya dalam amalan pelbagai dewata. Beliau ke utara sana, ke pergunungan, dan berlateh jauh dari hiruk pikuk kota raya semilan tahun nya lama. Latehan yang dilalui beliau itu antaranya adalah latihan nadi dalaman halus dan tenaga. Beliau mencapai kekokohan dalam semua bidang ini, dan diteruskan lagi pengajian beliau di bawah guru Bramhanatha dan Kresnanatha. Kedua-dua guru ini merupakan guru yang dicerahi terkenal semasa itu. Pelbagai aliran yoga telah terpecah sampai 12 panthi semuanya. Yang pertamanya seperti diketahui ramai adalah Nathapanthi. Kemudian ada lagi cawangan lain yang lebih mendalam iaitu Nateswari Yogin. Kedua-dua aliran ini masih lagi merupakan aliran yoga penganut ajaran Buddha sampai ke hari ini jika menurut kepada Taranatha. Guru-gurunya adalah Thirtanatha, Bramhanatha, Kresnanatha.

Di Malawa, Buddhagupta melatih pula dirinya dalam rasayana. Walaupun beliau berjaya dalam tahun-tahun berikutnya namun beliau kelihatan seperti seorang di awal 30-an. Di Maru, beliau menerima sedikit semahan dan membina pula gubuk bagi dirinya untuk melateh diri. Beliau mendapat penglihatan beberapa kalinya Wajrayogini dan pada tahap tertentunya dapat melihat perkara ghaib juga. Bilamana beliau mengalami kesakitan tubuh maupun ketidakselesaan jiwa, Wajrayogini akan muncul dan menghapuskan segala halangan beliau. Beberapa tahun lamanya, beliau terus bertapa dan mengembara pula di beberapa tempat suci supaya boleh beramal di situ. Beliau mengalami banyak kesusahan namun berjaya menguasai segala halangan, disebabkan oleh pencapaian dan juga kesedaran beliau. 

Pengalaman di Uddyana

Sebagai kesan kepada tapa panjang beliau, ikatan simpulan dan kekotoran dalam nadi halus beliau semua terungkai dan dimurnikan, tubuhnya menjadi ringan sekali. Beliau mencapai siddhi boleh berjalan laju dan boleh sampai di mana-mana kawasan dengan sepantas kilat tanpa perlu naik kuda atau pedati. Jadi beliau boleh mengembara di daratan sejauh mata memandang dan melawat banyak kawasan suci dalam seluruh benua kecil India. Beliau ke Uddyana di sebelah Barat Laut, dan di sana menjalankan banyak keajaiban. Semasa di sana, beliau melawat ibukota Dhumasthira dan banyak kawasan suci serata rantau itu seperti tempat di mana terdapat biasan rupa seekor kuda yang dikenali sebagai penembusan seorang Mahaguru Aswaratna atau Paramaswah. Tempat itu merupakan tempat Mahaguru Lawapa melontar semula hujan batu yang dihantar para dakini dan pura yang menempatkan heruka rupa Guru Padmawajra. Beliau melawat banyak tempat yang dikaitkan dengan Mahasiddha agung sebelum-sebelum beliau.

Mahasiddha Buddhagupta menggambarkan bahawa wanita di Uddyana itu merupakan pelbagai jenis bangsa dakini, yang mempunyai kebolehan dan kesaktian pelbagai pula. Seorang gadis yang ditemuinya di jalan melemparkan segenggam pasir ke dalam air sungai. Aliran sungai kemudian terhenti dan gadis itu boleh melintasi sungai dengan selamatnya. Selepas gadis itu selesai melintas, sungai itu mengalir semula. Wanita lain yang dilihat oleh Mahasiddha Buddhagupta pula merupai seekor kelawar dan terbang di udara sebelum mendarat di lapangan yang jauh dari situ. 

Pencapaian

Di Dhumastira, Buddhagupta mengalami kejadian yang menandakan amalan beliau berjaya dan selama tiga hari tiga malamnya semua bersinar seolah-olah berada dalam mandala Sang Wajrayogini. Setingkat demi setingkat, Buddhagupta mara menerusi Kashmir, Nubra dan Kashgar, sebelum berjumpa semula dengan gurunya, Sri Thirtinatha. Diceritakan segala pengalaman beliau kepada sang guru lantas suka lah guru itu. Beliau kemudian turun ke selatan dan bertapak dalam perseorangan selama 16 tahun di sebuat pura Betara Siwa yang ditinggalkan, mengulang japamantram dan melateh tenaga halus dan minda biar jangan pecah, dan bertumpu kepada proses penyempurnaan jiwa. Kemudian beliau pindha ke Maru dan di sana beliau melawat pura Hemawajra dibina oleh Padmawajra. Di situ ada rupa yang menyebabkan orang yang melanggar wratamnya itu muntah darah kalau melihatnya! Kemudian beliau ke selatan sedikit lagi dan bertemu guru Thirtinatha semula sebelum peri melawat tempat di tengah selatan India.

Pelayaran

Buddhagupta kemudian belayar pula menaiki kapal. Beliau melawat banyak kepulauan kecil di luar benua India dan bertemu dengan Guru Sumati, yang darinya diterima pula saktipanth bagi Cakrasamwara dan Hewajra. Beliau ada menyebut menerima saktipanth menerusi Matiswami, anak perempuan Guru Sumati yang merupakan seorang yogini yang mempunyai siddhi dan didapati bahawa di situ ada banyak lagi ajaran dan putaran amalan yang masih belum ditemui di benua sana. Beliau terus belayar ke pulau Sankhadwipam, Gajanasa dan Palata. Dari sana beliau terus pula ke Simhala dan berada di sana lima tahun nya.

Beliau menggambarkan Simhala atau Sri Lanka itu sebagai pulau kaya yang menimbulkan pula pepatah, "sungai-sungai dipenuhi mutiara, bumi dipenuhi harta, hutannya subur dengan gajah dan rumah dengan wanita Padmini itu merupakan gambaran terindah negara Simhala". Beliau menceterakan kepada Sang Taranatha bagaimana beliau mengelilingi pulau itu dengan berjalan kaki. Dalam gua di longgokan atas rantau itu bernama Kantala, beliau bertemu seorang yogi bernama Yakshakarasanti. Beliau itu adalah anak murid terus Guru Shantipa. Guru ini sudah berusia melebihi 700 tahun dan hanya menerima seorang sahaja pelajar! Buddhagupta bertuah kerana dipanggil bertemu guru itu dan membuat hubungan dharma dengan beliau. Orang biasa yang melawat gua itu sebenarnya cuma nampak yang gua itu kosong tapi bukan para siddha.

Dari Simhala, beliau menerusi pulau-pulau Umalingam dan Amuka ke Jamigiri. Setahun lamanya beliau di Jamigiri. Di pulau itu ada takhta Nagarjuna, dari samaya lawatan beliau ke sana itu, dan beberapa lagi rupa Buddha luar biasa. Dalam sebuah pura yang sebelum itu dibangunkan sendiri oleh Nagarjuna, beliau mencelup dirinya itu dalam celupan tapa dan mengalami pemandangan Nagarjuna bersama dengan pelbagai harta sampai dari Sukhawati. Terus lagi beliau ke pulau dipanggil Gunung Potalaka atau gunung raja-raja. Di sana beliau melawat gua kaca Manibhadra Kumara, tapak suci Bhrikuti, Gua Gerbang Emas Asura, Khadira Wana atau Hutan Akasia, yang merupakan tempat berdiam Arya Tara, serta banyak lagi pura-pura yang muncul sendiri secara semulajadi. Beliau mengelilingi gunung itu sekali dan bersnanam bawah air terjun yang turun dari singgahsana Manjusri. Beliau turut mengelilingi puncak gunung, puncak yang tak terbayangkan dari kaca.

Dari Potalaka, beliau naik kapal dan pergi ke utara sedikit di Jawadwipam. Di situ sudah ada pelbagai masyarakat Samgha yang merupakan cawangan kelompok Sendhawa Srawaka atau Therawada. Beliau tidak menumpang dengan mereka. Di sana pun di tengahnya ada sebuah tasek kecil dengan sebuah pulau kecil di tengahnya dipanggil Wana Dwipam. Di situ ada tapak yang direstui oleh Guru Sarurogha Wajra. Atas gunung kecil itu ada sebuah pura bentuknya empat persegi. Sebagai tengahan, di situ ada secara semulajadinya pembentukan rupa dua Hewajra bersenjata. Dalam satu gua lagi ada pelbagai pahatan mantra rahasia, dan dijelaskan lanjut lagi ada kira-kira 500,000 tantra. Tempat itu sukar untuk dimasuki dan tak mungkinlah dapat dikesan buktinya.

Pulang ke Simhala

Tak lama kemudian beliau pulanglah ke Simhala dan dari sana beliau melawat pulau-pulau sebelah Konkana, Malyara dan Shadadharba. Di situ, beliau bertemu Sri Raja Hari Prabha yang merupakan seorang pengamal ajaran Wajrayana yang sempurna. Baginda memberi banyak ajaran kepada Mahasiddha Buddhagupta. Raja Hari Prabha merupakan bapa menakan kepada yogini Dinakara. Darinya, Buddhagupta mendengar mengenai Mahasiddha Shantigupta yang terkenal. Beliau keluar mencarinya dan pertama kalinya bertemu Sri Jagannatha. Beliau berada bersama Jagannatha selama tiga bulannya dan berbakti kepada beliau. Beliau meminta saktipanth daripada Mahasiddha Shantigupta, lalu dihantarnya untuk mengutip barang penting. Pertamanya ke Tanah Trilingam, di sana dikutipnya 30 tolah perak sebagai pengeras. Dari sana, beliau ke Trimala dan dikumpulnya bahan-bahan lain lagi. Kemudian beliau ke Karnataka di tempat guru itu berada dan menerima saktipanth dengan cara yang sangat istimewa. Ketika itu, beliau ada juga memohon banyak jenis saktipanth dan ajaran berharga Mahaguru Gambhiralingam, seorang anak murid utama Mahasiddha Shantigupta.

Kemudian, Mahasiddha Buddhagupta pergi Bengala. Di rantau Purnabharda, beliau melawat pura terkenal Khasarpanni. Kemudian beliau masuk ke Tripuran dan Dewikota lalu berdiam di sebuah biara dibina oleh Mahasiddha Kresnacarya. Beliau melawat pelbagai rantau dalam Tanah Rakhong, dan bertemu pula dengan beberapa yogi yang bernaung dengan Mahasiddha Shantigupta. Mereka memberi lebih banyak ajaran lagi kepada beliau. Beliau melawat juga Dhanasri Dwipa dan cetiya Sri Dhanyakataka. Dari situ beliau terus ke Sadha Dwipa. Beliau melawat juga Suwarna Dwipa yang besar dan Suwarna Dwipa kecil. Kemudian melawat Candra Dwipa, Sarma Dwipa, dan ke Ganga Segara di mana hiasan tulang-temulang Mahaguru Kresnacarya tersimpan.

Di sana, beliau melateh dirinya dengan latehan haba dalaman dan mahamudra. Beliau terus berjumpa dengan yogini Dinakara semula yang memegang kebanyakan ajaran Mahasiddha Shantigupta. Beliau minta lagi saktipanth dan beliau membuat bakti banyaklah kepada yogini agung ini dengan lima puluh yogi dan yogini lain lalu beliau pun diberi ajaran. Beliau mengembara bersama yogini ini sampai ke Tanah Bhangdwa dan bersatu semula dengan Mahasiddha Shantigupta.

Selama 13 bulan Mahasiddha Buddhagupta berdiam bersama Mahasiddha Shantigupta selain mengutip banyak ajaran. Pada ketika ini, beliau sudah naik pangkat menjadi Buddhagupta Natha. Beliau belajar di bawah guru-guru Sudhigarbha iaitu Guru Kanhapa, Guru Wetatiksana, Guru Wirabandhu, Guru Ghaghapa yang semuanya merupakan anak murid terdekat Mahasiddha Shantigupta serta pakar dalam bidang masing-masing. Akhirnya, Mahasiddha Shantigupta menghantar beliau pergi bertapa di Magadha dan beliau membina gubuk buat dirinya dalam jarak sepelaung daripada Mahabodhi.

Selepasnya, baru Buddhagupta Natha pergi berdharmayatra di delapan tapak suci yang ditempuhi oleh baginda Phra Buddha Chao. Di setiap tapak ini, beliau mendapat lebih luas pemandangan dan nadi halus beliau yang terakhir dirungkaikan. Selepas itu beliau pulang menyembah Mahasiddha Shantigupta, dan barulah beliau diterima masuk ke pangkat para yogi dalam gerombolan tapa yogi Mahasiddha Shantigupta.

Di tahap ini, Taranatha mencatit pengalaman Mahasiddha Buddhagupta: "Sejak pertemuan terakhirnya dengan Guru Tirthinatha sampai ke tahap ini, 46 tahun sudah berlalu seperti diberitakannya kepada aku. Walaupun beliau telah mengamalkan tapa semadhi dalam tempoh yang sangat lama, "dharmayatranya di sekeliling tapak suci" nampaknya telah menyebabkan beliau menjadi lemah sedikit. Sampai ke tahap pertemuan pertamanya dengan Mahasiddha Shantigupta itu, hanya ada sedikit sahaja hubungan dengan guru-guru lain. Selain daripada beberapa ciri biasa, beliau tak sampai ke sebarang keputusan tetap yang tak berubah pun berkaitan dengan ciri hakikat. Jadi, secara umumnya sampai beliau itu menerima Hewajra di Dramila Dwipa, kelihatannya beliau seperti tak menerima sebarang arahan mulut penganut ajaran Buddha yang penting pun, sama ada berbentuk tantra atau yang berbentuk ulasan. Begitulah diceterakannya kepada aku.

Pada kepulangan beliau dari Uddyana, pikirnya, "Kini aku sudah naik menjadi yogi agung" dan dengan ini maka muncul pula kebanggaan besar. Lebih lagi, beliau cenderung nak melawan orang sebab dendam amarah, tak ada pula keinginan kuat hendak bertapa semadhi sampai 12 tahun lamanya. Semasa di Jamigiri Dwipa, setengah karmasthana beliau, seperti kepercayaan yang diperlukan, berada pada gelora lemah; dan makanya gandingan siddhi itu pun jadi lambat. Semua ini, bagi kita dan lain-lain pengamal yang berbolak-balik, dianggap lah sebagai satu pembelajaran sendiri yang membawa seseorang itu masuk ke jalannya. Semua ini, menjadikan Mahasiddha Buddhagupta dipandang sebagai antara Mahaguru Siddha yang agung, yang pakaiannya cuma kambhalapa, sehelai selimut".

Selepas tempoh beberapa bulan, yang beribu-ribu yogi dan yogini berhimpun bagi perayaan, ajaran dan saktipanth, Mahaguru Shantigupta menasehati Mahasiddha Buddhagupta Natha supaya pergi melawat ke negara-negara di utara dan timur. Di sana nanti, beliau akan bertemu dengan anak murid pula dan ajari mereka dharma yang sesuai dengan mereka. Mengembara menerusi Prayagam, beliau bertemu Subharakshita, seorang guru yang juga anak murid Mahasiddha Shantigupta. Beliau menjelaskan cara bagaimana beliau mendapatkan tanda-tanda jaya bagi setengah benda biasa, seperti menahan nyawanya sedikit, maka tubuhnya akan dapat dikecilkan ke ukuran sampai boleh masuk dalam cawan minuman kecil; kemudian menarik nyawanya, beliau boleh menjelma menjadi delapan tubuh. Tapi yang utama sekali itu, beliau memperolehi lagi kebolehan baru iaitu melihat fenomena dalam ciri-ciri asas yang sama.

Di negara Bhameswara, beliau duduk di tapak pembakaran mayat dan mengajar para yogi Charyapa serta memindahkan saktipanth. Beliau ke Bhangala (Bangladesh), Tripuram dan Rakhang (negeri dalam Myanmar), kemudian berdiam selama setahun di Kamarupa (Assam). Kemudian, beliau mengembara ke Tanah Tibet, dan melawat Lhasa serta Samye. Kemudian beliau pergi ke Tsang dan bertemu pula dengan Taranatha yang menceterakan semua pengalaman Mahasiddha Buddhagupta. Taranatha berdiam di asrama Mahabodhi ketika itu. Selain itu Taranatha faseh sekali bahasa-bahasa pasar Hindu disebabkan oleh kelahiran lampau beliau sebagai putera diraja Hindu, Rama Gopala Kumara. Taranatha meminta diajar segala tantra dan menerima jawapan mendalam bagi segala persoalan. Beliau juga meminta saktipanth ajaran yang masih belum diketahui lagi di Tanah Tibet ketika itu.

Taranatha menulis: "Antara bahan dipinta yang sebelumnya tak pernah ada di Tanah Salju ini, merupakan saktipanth Tara Yogini, arahan lisan mengenai Turunan dan Jalan Penyempurnaannya, bersama dengan restu-restu dan ulasan mengenai tantra yogini itu. Kemudian Guhyasamaja dalam gaya Jnanapadam; Aksobhya sebagai 16 Dewata; Penguatkuasaan Mahamudra Minda; Restu Tetesan Dewi Musim Bunga atau Wasantha Tilaka; Persoalan Agung mengenai Turunan Enam Arahan; Dohah Jalandhara dan arahan lisan; arahan lisan Mahamudra minda bersama dengan ulasan bertulis; arahan lisan empat bija mantra; restu bagi Restu Jiwa dan ulasan bertulisan; Dasar Hati bagi Mudra Empat; arahan lisan Kusali dan Enam Rantingnya mengenai Jalan Penyempurnaan Hewajra; Hujan Kebijaksanaan; Dipa Tunggal; Kutipan Semula Tunggal; arahan lisan Warahi Si Pemburu; Warahi Pelbagai Warna; Tiga Yogini: Merah, Puteh dan Biru; Hamsa Wajra Nairatmya; Wajrawarahi Cakap Laju yang Menyukakan; Jalan Penyempurnaan Sang Acala dikarang Atisa; Gulungan Empat oleh Sri Dombipa; dan dua gulungan pengertian kesedaran Yang Maha Hitam, Mahakala; semua ini diperolehi dengan baik sekali.   

Mengusahakan diriku tanpa memerhatikan sebarang beda siang dan malam, bersusun-susun salinan catitan aku, pada kenaikan dan tatacara perestuan dan juga ulasa, termasuklah berkenaan dengan gaya hidup yang patut diambil dan memetik pelbagai sastera suci dan terus dari kata-kata Mahasiddha Buddhagupta, dalam masa senggangku pula aku mencatit catitan ku ini, cuba mengasaskan satu acuan yang tetap. Sebarang kata-kata beliau itu memang aku catit terus!"

Akhirnya, Mahasiddha Buddhagupta Natha terpaksa pulang ke Benua India dan di sini sahajalah biografi cetera mengenai Mahasiddha Buddhagupta terhenti bagi segala tujuan. Taranatha menambah bahawa bagaimana kemudian beliau dengar dari para pengembara bahawa Mahasiddha itu melawat juga banyak tapak suci di lembah Kathmandu sebelum pulang ke Benua India. Di sana beliau bersatu dengan guru beliau semula, Shantigupta, berdiam bersama dengannya beberapa lamanya. Kemudian beliau bersama anak murid beliau sendiri pula mengembara di sekitar Magadha iaitu kawasan Behar dan Uttar Kandh hari ini dan di Bhangala atau di Bangladesh dan negeri Bengal Barat di India moden. Selepas itu, beliau pindah ke Tripuram yang kini berada dalam rantau negeri Assam dan Utara Myanmar moden lalu berdiam di sana banyak tahun juga.

Taranatha menggambarkan lagi mengenai Siddha itu: "Tanda-tanda bahawa beliau itu berjaya sebagai seorang yogi memang kenampakan di mata biasa. Setengah hari beliau menahan aliran nyawa beliau, dan hampir setiap masa beliau itu tak pakai baju atau seluar pun (sedangkan mereka berada di Tibet!). Beliau langsung tak terasa apa pun, tapi semasa pengembaraan singkat itu, dalam lingkungan dua meter pun, boleh dirasai kehangatan dari nya. Beliau mampu juga melindungi orang lain yang berdekatan daripada kesejukan. Dengan menghentikan nyawa beliau menerusi mulut dan hidung, beliau mampu menjelmakan di mata dan telinga benda yang ingin diketahuinya. Kaki beliau juga tak tenggelam dalam air. Beliau berdiri kira-kira dua jari dari atas tanah dan kehebatan tubuhnya itu akan menyentuh segala benda dan berada di situ lamanya. Beliau ada sakti yang boleh melihat rupa rahasia yang lain, dan dengan cara ghaib mampu membaca pikiran orang. Tubuhnya ringan, dan beliau terjun sahaja dari ketinggian dua atau tiga tingkat. Seperti selembar kulit yang terbang dan sampai ke tanah macam bulu pelepah burung.

Beliau akan panjat pergunungan yang curam seperti berjalan atas tanah rata sahaja. Racun, raksa dan sebagainya itu tak mampu mencederakan tubuhnya. Disebabkan minda beliau itu senantiasa berada dalam keadaan cinta kaseh, anjing dan binatang pemangsa cuma menjilat tubuhnya dan menunjukkan kasih sayang mereka kepadanya dengan cara mereka sendiri. Burung gagak, burung-burung kecil serta lain-lain akan mendarat di ribaan beliau atau di hujung jarinya. Burung-burung itu tak lari pun bila dibelai beliau, tapi cuma kekal di situ, suka sahaja.

Pada ketika mengaruniai saktipant itu, beliau mampu membuat kebijaksanaan itu turun. Dalam kehadiran calon-calon yang ada itu beliau mempamer pelbagai kejadian yang aneh banyak sekali tanpa beliau sedari. Contohnya beliau bersinar dalam mandala beliau. Beliau berdiri tanpa perlu makanan seperti manusia biasa. Beliau hidup dengan menerima semahan makanan yang diberikan oleh makhluk ghaib. Bila beliau beryoga dengan satu arah dewata, kehadiran sekeliling mula hilang dan beliau itu dipenuhi dengan kebijaksanaan lalu melihat segalanya itu pada dasarnya tanpa ada luaran atau dalaman dan bebas jiwa. 

Kita dengan tahap serupa dengan serangga pepatak itu, bagaimanalah kita mampu mengukur tahap dan ciri tubuh, pengucapan dan pemikiran beliau itu?"

Ayat terakhir dalam catitan kehidupan Mahasiddha Buddhagupta yang dikarang dalam tahun 1601 oleh Sang Taranatha dibaca dengan erti: "Selepas itu, dan sampai hari ini, beliau itu berdiam di Dewikota, begitulah kedengarannya. Banyak laporan mengenai keajaiban yang dijalankan beliau dalam lawatan beliau ke negara-negara asing; tapi catitan kehidupan yang dipenuhi dengan cetera-cetera pelik yang banyak ini pastilah tak akan dipahami ramai. Maka, lebih suka aku diamkan sahaja di sini". 

Ringkasan kehidupan Mahasiddha Sang Buddhagupta itu boleh dibaca dalam terjemahan bahasa Inggerisnya, "The Sacred Biography of Mahasiddha Buddhagupta: A Straightforward Account Directly from the Majestic Lord's Own Lips, Unpolluted by Even a Whiff of Things Made-Up". Bahasa asalnya itu dalam bahasa Tibet. Ringkasan lain dalam bahasa Inggeris diperbuat oleh Thomas Roth. Yang ini ringkasan aku buat melalui penyesuaian semula sebagai penghormatan kepada Mahasiddha ini sendiri.

1 ulasan: